Adakah anak kerap diserang batuk, demam dan selesema? Apabila ini
berlaku, sudah tentu si kecil kurang selera makan dan enggan minum susu. Ada kalanya susu yang
diminum tersedak disebabkan batuk. Ia mungkin situasi biasa, tetapi jika
masalah kesihatan itu berlarutan lebih tiga hari, cepatlah bertindak! Ini
kerana jika dibiarkan, paru-paru anak anda mungkin dijangkiti virus yang
mengakibatkan anak anda mengalami pneumonia.
Secara umumnya jangkitan paru-paru adalah berkaitan penyakit
pneumonia. Pneumonia merujuk kepada jangkitan kuman pada paru-paru yang
membuatkan seseorang itu sukar bernafas. Ia berlaku disebabkan saluran udara
pada paru-paru dipenuhi nanah dan lendir yang menyebabkan sistem pernafasan
tidak dapat berfungsi dengan baik.
Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan oksigen
tidak sampai ke dalam darah dan sel tubuh. Ini akan menyebabkan kanak-kanak
mengalami kekurangan oksigen yang menyebabkan dia sukar bernafas yang
membahayakan nyawa si manja anda.
Pneumonia terjadi kerana jangkitan bakteria, virus, fungus dan
parasit. Secara umum antara bakteria yang menyebabkan pneumonia adalah
‘Streptococcus pneumoniae’, ‘Haemophilus influenzae’, ‘Chlamydia
trachomatis’,’Mycoplasma pneumoniae’ dan ‘Legionella pneumophila’. Jangkitan
kuman atau virus yang menyebabkan jangkitan di hidung , batuk, selsema dan
berterusan pada paru-paru.
Pencegahan Awal
Pneumonia adalah masalah jangkitan paru-paru yang sangat biasa di
kalangan kanak-kanak Malaysia .
Jangkitan paru-paru kerap dialami oleh kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.
Kira-kira 60 peratus punca utama kebanyakan kanak-kanak dimasukkan
ke wad di Malaysia. Pada awalnya kanak-kanak akan mengalami keradangan
paru-paru (bronkitis) sebelum bertukar menjadi lebih kronik iaitu pneumonia.
Pneumonia mungkin sukar dikesan pada kanak-kanak yang aktif, tetapi secara umum
boleh dikesan menerusi perubahan sifat kanak-kanak itu iaitu meragam, tidak
mahu minum susu dan tidak aktif.
Bagi kanak-kanak yang aktif, mungkin sedikit sukar mengesan gejala
ini tetapi jika dia batuk berpanjangan selama tiga hari, lesu, muntah, nafas
berbunyi dan mengalami kekurangan air (dehidrasi) segera dapatkan pemeriksaan
lanjut dengan pegawai perubatan berdekatan. ibu bapa sepatutnya menyedari
risiko pneumonia. Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit ini ialah mereka yang dijaga oleh
pengasuh di taska, ‘day care’ iaitu dalam kelompok yang ramai dan keluarga yang
besar dengan rumah yang sempit. Pada masa yang sama persekitaran dibiarkan
tidak bersih dan perkongsian bekas makanan dan minuman yang menyebabkan
penyakit disebar dengan mudah.
Dalam pada itu, bagi bayi yang berusia satu hingga tiga bulan
sepatutnya sihat dan tidak ada sebab bayi ini mengalami demam. Namun jika tetap
mengalami demam, bayi harus menjalani pemeriksaan imunisasinya.
Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa
yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak boleh
mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen. Kanak-kanak yang
mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital iaitu pernafasan
laju, sukar untuk bernafas , bibir menjadi biru, batuk berdarah dan tidak boleh
makan atau minum atau tidak kencing. Jangkitan kuman ini boleh membahayakan
nyawa.
Simptom
♦ Demam panas
♦ Batuk dengan atau tanpa kahak
♦ Sakit dada
♦ Tiada selera makan, tidak mahu makan
♦ Rasa tidak sihat, sering merengek
♦ Pernafasan laju atau susah bernafas
♦ Muntah atau cirit-birit
Rawatan
Kanak-kanak yang mengalami jangkitan kuman ini disebabkan oleh
bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor. Bagaimanapun, jika jangkitan
kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu
dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan
perubatan yang lain.
Dalam pada itu, pencegahan awal untuk mengelak jangkitan kuman
boleh dilakukan seperti amalan kebersihan diri, persekitaran yang baik dan
meneruskan penyusuan susu ibu. Alternatif lain pencegahan awal ibu bapa boleh
mendapatkan vaksin melalui hospital swasta untuk meningkatkan imun anak anda.
Vaksin seperti vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles),
Vaksin influenza dan Vaksin pneumococcal merupakan pengambilan imunisasi boleh
mencegah jangkitan kuman di paru-paru.
♦ Beza batuk biasa dan batuk pneumonia
Batuk biasa Bunyinya ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat
pneumonia.
♦ Batuk pneumoniaBunyinya ‘dalam’ dan kerap terjadi waktu malam sehingga ke
pagi. Kahak berhimpun kerana lebih kerap batuk di sebelah malam.
5 Tip Mudah
1. Mesti ada termometer untuk mengukur suhu badan anak.
2. Dapatkan puting botol susu jenis Y-Cut iaitu susu keluar
apabila dihisap oleh anak kecil. Jenis ini membantu mengelak anak kecil
tersedak susu.
3. Pastikan persekitaran taska bersih dan tidak terlalu ramai
kanak-kanak.
4. Dapatkan rawatan doktor jika demam, selesema dan batuk tidak
pulih selepas tiga hari.
5. Teruskan penyusuan susu ibu untuk meningkatkan antibodinya.
share
from:
No comments:
Post a Comment