Sudah lama sebenarnya saya nak berkongsi mengenai fadhilat surah ini. Tapi asyik tertangguh dan tersimpan rapi di dalam draf blog. Alhamdulillah akhirnya dapat juga saya publish untuk rujukan diri buat masa akan datang disamping berkongsi dengan yang lain.
Surah Al-Waqiah dikenali sebagai surah kekayaan. InsyaAllah barangsiapa yang mengamalkannya maka tidak akan ditimpa kemiskinan. Saya yakin, berkat bacaan tiap-tiap hari, anda juga mampu menghafal surah ini. Jum kita tambah ilmu megenai fadhilat surah ini...
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa (membiasakan) membaca surah Al-Waqiah, maka ia tidak akan kefakiran selamanya.”
“Sesiapa membaca surah Al-Waqiah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”
“Sesiapa
membaca surah Al-Waqiah setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan
atau kemiskinan selama-lamanya.” (HR: Al-
Baihaqi)
“Ajarkanlah
surah Al-Waqiah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
“Sesiapa yang
membaca surah Al-Waqiah
setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah
adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
Ringkasan mengenai surah ini:
Surah Al Waqiah
adalah Surah
yang ke 56 dalam Al Quran, terletak pada Juz 27 dan terdiri dari 96 ayat.
Dinamakan Al
Waqiah kerana di ambil dari lafaz Al Waqiah yang terdapat pada ayat
pertama dalam Surah ini, yang ertinya "Kiamat". Di dalam Surah ini
menerangkan tentang hari Kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang Mukmin
dan orang-orang Kafir. Diterangkan pula penciptaan manusia, tumbuhan dan api
sebagai bukti kekuasaan Allah dan adanya hari berbangkit.
Fadhilat Surah Al-Waqiah:
- Apabila dibaca satu kali setiap malam, maka dia dijauhkan
dari kemiskinan selamanya.
Surah ini merupakan
amalan terbaik bagi wanita dan gadis sebagai pemelihara dan pelindung diri dari
kemudaratan dan kemiskinan. Kelebihan surah ini dinyata dalam pesanan Uthman
bin Affan kepada Abdullah yang sedang sakit tenat.
Uthman
berkata : " Ini untuk anak-anak perempuan kamu selepas ketiadaan kamu.
Beliau menjawab adakah kamu takut anak-anak perempuan kamu menjadi miskin?
Sesungguhnya saya perintah kepada mereka supaya baca surah
"Al-Waqiah" tiap-tiap malam. Sesungguhnya saya dengar Rasulullah SAW
bersabda: "Sesiapa membaca surah "Al-Waqiah" tidak akan
jadi miskin selama-lamanya."
- Bila dibaca 14 kali selepas solat asar, maka orang itu akan memperoleh kekayaan yang melimpah ruah.
-
Mereka yang
membacanya sebagai wirid, Insya’Allah akan beroleh kesenangan
selama-lamanya.
- Jika dibaca surah ini sebanyak 41X dalam satu
majlis, Insya’Allah ditunaikan segala hajatnya khususnya yang
berkaitan dengan rezeki.
- Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu
bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah,
ayat 35-38 sebanyak 7 X. Tiup dalam air dan minum. Dalam
hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan
rumahtangga kita.
Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 bermaksud :
“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri
mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang
tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan
umurnya.”
- Amalkan membaca sebanyak 3 kali selepas solat subuh dan 3 kali selepas solat Isya. InsyaAllah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan dijadikan seorang yang hartawan dan dermawan serta menjadi orang kaya yang sentiasa bersyukur.
- Menurut amalan orang-orang sufi & As Syeikh Abi Abbas, ~ supaya dilimpahkan rezeki:
- Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat.
- Selepas tiap solat fardhu bacalah Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali
sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya.
- Pada malam Jumaat berikutnya, selepas solat Maghrib bacalah Surah
Al-Waqiah sebanyak 25 kali dan selepas solat Isyak sebanyak 125 kali.
- Diikuti dengan selawat ke atas Nabi sebanyak 1000 kali.
- Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah.
- Kemudian amalkanlah Surah Al-Waqiah ini sekali pada waktu pagi dan
petang.
~ InsyaAllah dengan berkat amalan tersebut, akan menjadi orang kaya dengan izin Allah
- Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis
sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan
rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru
serta berkah pula.”
- Surah Al Waqiah jika dibaca di sisi mayat atau orang yang sedang nazak, insyaAllah dipermudahkan untuk Roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca di sisi orang yang sakit, diringankan kesakitannya. Jika ditulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, insyaAllah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga di baca di sisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.
Insyaallah dengan
mengamalkan surah al-Waqiah saban hari sebagaimana yang diriwayatkan dalam
hadis-hadis Rasulullah SAW, hidup kita akan sentiasa dimurahkan rezeki dan
dilimpahi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dengan izin Allah kita akan
memperolehi rezeki yang melimpah ruah supaya kita berkesempatan melaksanakan
amal jariah dan meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.
Sebagai peringatan,
amalan membaca surah ini janganlah hanya berpaksikan kekayaan dan kemewahan
semata-mata. Sebaliknya bacalah surah Al- Waqiah ini dengan hati dan niat yang
ikhlas demi mengejar keredhaan Allah. Bacalah surah ini dengan besertakan niat
apabila kita dimurahkan rezeki kelak, kita akan perbanyakkanlah amal ibadat dan
jariah. Insyaallah dengan niat yang suci ini, Allah akan memperkenankan doa-doa
kita dengan mudah.
Jum sama- sama kita baca & amalkan surah ini..
Boleh juga refer di sini
Surah Al-Waaqi'ah - سورة الواقعة
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Apabila berlaku hari kiamat itu,
Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya.
Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).
(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan.
Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,
Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,
Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);
Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?
Dan puak pihak kiri; - alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?
Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);
Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),
(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;
Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.
(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;
Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.
Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, -
Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,
Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.
Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -
Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari satu kepada yang lain).
Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,
Dan naungan yang tetap terbentang,
Dan air yang sentiasa mengalir,
Serta buah-buahan yang banyak,
Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,
Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,
Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;
Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,
Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.
Dan puak kiri, - alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?
Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak
Serta naungan dari asap hitam,
Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan.
Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).
Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,
Dan juga mereka selalu berkata: "Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?
"Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)? "
Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,
"Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan - pada hari kiamat yang termaklum.
"Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat),
Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,
"Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu,
"Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,
"Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas".
Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.
Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada - wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).
(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?
Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?
Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan;
(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu), dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.
Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).
Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?
Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?
Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggalah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,
(Sambil berkata): "Sesungguhnya kami menanggung kerugian.
"Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) "
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.
Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)?
Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya, atau Kami yang menumbuhkannya?
Kami jadikan api (yang tercetus dari kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir.
Oleh yang demikian - (wahai orang yang lalai) - bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu).
Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran, -
Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya, -
Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),
Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;
Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambilewa terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini?
Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)?
Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, -
Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, -
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,
Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami), -
Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar ?
Kesudahannya: jika ia (yang mati itu) dari orang-orang " Muqarrabiin ",
Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan.
Dan jika ia dari puak kanan,
Maka (akan dikatakan kepadanya):" Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan".
Dan jika ia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat,
Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak,
Serta bakaran api neraka.
Sesungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang diyakini.
Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.
~ صدق الله العظيم ~
No comments:
Post a Comment