Imam Abdullah bin al-Mubarak R.A. telah meriwayatkan di
dalam kitab Al-Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki iaitu Khalid
bin Maadan yang pernah berkata kepada Muaz:
“Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku
sebuah hadith yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah S.A.W.”
Lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat
berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz
berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepadaku:
Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu ceritakan kepada kamu sebuah
hadith jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manafaat akan
dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya
maka akan terputuslah hujahmu di hadapan Allah pada hari kiamat nanti.
Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan tujuh
orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi lalu ditentukannya pada
setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit
tersebut
Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang
hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut
mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang
membawa amalan hamba itu sampai ke langit pertama. Mereka menganggap
bahawa amalan itu baik dan sangat banyak lalu berkata malaikat penjaga langit
pertama itu bagi malaikat Hafazhah:
“Pukulkan dengan amalan ini akan
muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku
supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat
melalui aku untuk terus naik ke atas”
Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan
seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat
banyak (malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama kerana orang yang
mengerjakan amalan tersebut tidak terlibat dengan dosa mengumpat orang)
sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat
penjaga langit yang kedua itu:
“ Berhenti kamu di sini dan pukulkan
dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakanya kerana ia mengkehendaki
dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya
tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke
atas. Selain daripada itu ia juga suka
membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga
kebesaran.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang
hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, sembahyang,
puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut
lalu mereka membawa amalan itu ( melintasi langit yang pertama dan kedua)
sehingga sampai ke pintu langit yan ketiga maka berkata malaikat penjaga langit
ketiga itu:
“ Berhenti kamu di sini dan pukulkan
dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takbur.
Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takbur dapat
melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang
ramai.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang
hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip.
Baginya suara tasbih, sembahyang, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah
berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke pintu langit yang keempat
maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu:
“ Berhenti kamu di sini dan pukulkan
dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga
perutnya. Akulah malaikat ‘ujub. Allah menyuruhku supaya tidak
membiarkan amalan orang yang ‘ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan
dorongan perasaan ‘ujub terhadap dirinya.”
Dua sebab mengapa kita
harus menjauhkan Ujub (berbangga diri) : Pertama; Ujub itu menyebabkan terhalangnya taufiq dan menghalang ia ta'yid daripada Allah Taala. Bila tiada taufiq dan pemeliharaan dari Allah Taala, maka tentu akan cepatlah dan mudahlah seseorang itu mendapat kecelakaan.
Kedua; Ujub itu akan merosakkan amal
sholeh. Menghancurkan semua ganjaran pahala, malah memadamkan cahaya mata
hati.
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang
hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah
amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya
amalan itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:
“ Berhenti kamu dan pukulkan dengan
amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanya di atas
tengkoknya. Akulah malaikat hasad , ia sangat hasud kepada orang berlajar ilmu dan beramal seperti amalanya.
Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia
juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang
yang hasud ini melintasi aku.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan
seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada sembahyang,
zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya
sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga
langit tersebut:
“ Berhentilah kamu dan pukulkan
amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan
kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat.
Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini tidak
melintasi aku.”
Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan
seseorang hamba. Amalan itu sembahyang, puasa, nafkah, jihad dan warak. Baginya
bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti
cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu tiga ribu malaikat.
Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh
maka berkata malaikat penjaga pintulangit tersebut:
“ Berhentilah kamu dan pukulkan
dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan
seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat zikir
( seorang yang beramal dengan tujuan supaya disebut-sebut oleh orang lain).
Aku akan menghalang amalan orang riak
dari sampai kepada Tuhanku. Ia bukan beramal bukan kerana mencari keredhaan
Allah tetapi hanya bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para
fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namanya di
merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak
itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah
tidak akan menerima amalan orang yang riak.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang
hamba. Amalan itu berupa sembahyang, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia,
banyak berdiam (daripada perkara yang tidak berguna) dan banyak berzikir.
Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit
sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para
malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan
kebaikan amalan tersebut lalu Allah ber firman kepada para malaikat –Nya:
“ Kamu adalah yang bertugas menjaga
amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku (ALLAH)
lebih mengetahui dengan segala isi
hatinya. Ia sebenarnya tidak mengkehendaki akan Aku dengan amalannya
tersebut. Ia hanya mengkehendaki sesuatu yang lain daripadaKu oleh kerana itu
maka Aku turunkan ke atasnya akan laknatKu.”
Lalu para malaikat tadi berkata: “Ke atasnya laknatMu dan
juga laknat kami.” Lalu melaknat akan dia oleh tujuh petala langit dan
seisinya.
Mendengar sabda Rasulullah S.A.W. ini lalu Muaz menangis
seraya berkata:
“Engkau adalah Rasulullah S.A.W. sedangkan aku adalah Muaz
(hamba Allah yang bukan Rasul). Maka bagaimana aku dapat selamat dan
sejahtera”.
Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab:
“Hendaklah engkau ikuti aku walaupun hanya dengan sedikit AMALAN. Wahai Muaz
- jaga
lidahmu baik-baik daripada mencela saudaramu yang membaca al-Quran
(golongan ulama)
- dan
pertanggungkanlah segala dosamu ke atasmu dan jangan engkau
mempertanggungkan dosamu ke atas mereka
- dan
jangan engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau
mencela orang lain
- dan
jangan engkau memuji dirimu di hadapan mereka .
- Dan
jangan engkau campurkan urusan dunia di dalam urusan akhirat .
- Dan
jangan engkau menyombong diri di dalam majlis nanti orang ramai
akan takut kepadamu kerana kejahatanmu
- dan
jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada
di sisimu
- dan
jangan engkau membesarkan dirimu , maka akan terputus daripadamu
segala kebaikan di dunia dan di akhirat.
- Dan
jangan engkau carikkan (pecah belah) akan manusia, maka mencarik
akan dikau oleh anjing-anjing api neraka pada hari kiamat nanti. Allah
berfirman yang bermaksud: “ Demi yang mencarik dan carikkan .”
(al-Nazi’at: 2).
Apakah engkau ketahui wahai Muaz siapakah mereka yang
mencarik itu?
Muaz bertanya: “Ya Rasulullah, sebenarnya siapa mereka?”
Lalu Nabi S.A.W. menjawab: “Itulah
anjing-anjing garang di dalam api neraka yang akan mencarikkan daging sehingga
sampai ke tulang.”
Muaz bertanya: “Ya Rasulullah siapakah yang mampu
melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi? Dan siapakah yang akan
selamat daripada seksaan itu?”
Nabi S.A.W. menjawab: “Itu sebenarnya
mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah”
Kemudian lalu Khalid bin Maadan berkata: “Maka aku tidak
pernah melihat seseorang yang banyak membaca al-Quranul Karim lebih daripada
Muaz kerana beliau faham terhadap hadith yang besar ini.”
~dipetik dari kitab Bidayatul Hidayah-Hujjatul Islam Al Imam
Al Ghazali
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada
rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat
hati dan amalan-amalan kamu.”
(Riwayat Muslim)
Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang telah
melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan
maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya
Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
(Surah Az-Zumar: 53)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang
kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan
yang menjadi penawar bagi penyakit batin (hati) yang ada dalam dada kamu dan
menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang
beriman.”
(Surah Yunus: ayat 57)."
P/s: Sampaikah Amalan Kita Naik Ke Langit Menuju ALLAH???
Semoga bermanfaat…
Share From :
My Small BoxHalaqah.net
No comments:
Post a Comment