Friday, August 15, 2014

JADUAL TETAP ORANG MUSLIM

Saya tertarik dengan artikal Harian Metro hari ini berkaitan dengan solat dan emosi.  Memang benar dengan solat kita dapat mencegah diri dari kemungkaran. Dengan syarat, solat itu perlu dilakukan dengan ikhlas, sabar, serta kusyuk. 

Solat mekanisme stabilkan emosi
Oleh Ahmad El-Muhammady

Islam satu agama yang seimbang dan manusiawi, kerana menyediakan satu ‘blueprint’ kehidupan seharian yang seimbang antara kepentingan dunia dan akhirat. Sesungguhnya, Islam tidak melarang umatnya menikmati kekayaan dunia, kehidupan moden dan teknologi seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya, Islam mengambil jalan pertengahan atau wasatiyyah antara kedua-dua kepentingan tadi supaya ia dapat memenuhi fitrah manusiawi dengan baik dan menjalani kehidupan dengan seimbang. Sebagai seorang yang hidup berpaksikan tauhid, kita memulakan hidup setiap hari dengan mendengar panggilan azan Subuh sekitar jam 5 pagi: ‘Hayya alal falah’ marilah menuju pada kejayaan dan ‘hayya ala solah’ marilah mendirikan solat. Jadi, sebenarnya di awal pagi lagi umat Islam ditanam dengan semangat ‘al-falah’ seruan untuk mengejar kejayaan yang dapat dicapai melalui ibadat solat. Seruan ini dibuat ketika minda dalam kaadaan segar, fikiran masih lagi kosong daripada pelbagai idea dan masalah, ketika jiwa masih tenang dan fizikal yang kuat. Ini satu proses ‘mind-setting’ dan pengukuhan yang amat penting untuk mendepani situasi yang mencabar pada hari itu.
 
Pengukuhan keimanan

Kemudian, kita mendirikan solat Subuh. Dalam solat, kita membaca doa iftitah yang di dalamnya mengandungi ‘affirmation of belief’ pengukuhan keimanan melalui lazaf ‘Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan lurus dan berserah diri dan aku bukan golongan orang musyrik.’ Ia juga mengandungi ‘statement of purpose of life’ iaitu tujuan dan matlamat hidup di dunia ini ‘Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.’ Begitu juga ‘authentication of identity’ penetapan jatidiri iaitu ‘Tidak ada sekutu bagi-Nya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagi-Nya dan aku dari golongan Muslimin.’ Seterusnya kita membaca surah al-Fatihah yang mengandungi deklarasi dan janji iman pada Allah sebagai Tuhan yang layak disembah, jalan sepatutnya kita ambil ‘siratal mustaqim’ yang bakal menjadi panduan dalam hidup kita pada hari itu dan selepasnya. Dalam solat juga kita mengulangi beberapa bacaan, seperti subhanarabbiyal ‘azim, subhanarabbiyal a’la, tahiyyat dan sebagainya. Bacaan ini mengandungi pujian pada Tuhan berhubung kehebatan dan kebesaran-Nya. Mengapa bacaan ini diulang-ulang? Ulangan dibuat supaya elemen ketuhanan ini menjadi sebati dalam jiwa dan fikiran kita. Inilah impak ‘the power of repetition’. Sesudah solat, kita disunatkan berwirid dan berzikir dan diakhiri dengan doa. Dalam doa, kita boleh memohon apa saja daripada Allah untuk kebaikan di dunia dan akhirat. Selepas selesai tugas ibadat atau ‘religious obligation’, maka kita akan pergi kerja dan menunaikan tanggungjawab sosial ‘social obligation’ kita.

Selepas tujuh jam menjalani kehidupan, kita diseru dengan panggilan azan kedua yang mengajak kita pada kejayaan dan solat sekitar jam 1 tengah hari. Bila mendengar azan, kita dituntut menghentikan segala kerja, berwuduk dan menunaikan solat Zuhur. Air sembahyang bukan saja dapat menyegarkan diri, bahkan ia menggugurkan dosa-dosa kecil yang dilakukan pada hari itu. Ini proses ‘recharging’ jiwa dan fizikal kita yang layu selepas menjalani kehidupan dan ‘stress’ selama tujuh jam. Proses ‘recharging’ ini amat perlu untuk memperkasakan iman kita dan ‘resetting’ niat, tujuan, matlamat hidup supaya kita lebih berkesan dalam pelaksanaan tugas. Di dalam solat Zuhur ini, kita mengulangi deklarasi dan penyaksian yang dibuat dalam solat Subuh tadi.

Justeru, kalau kita menghadapi hari yang penuh tekanan dan ‘stress’ kerana masalah di tempat kerja dan hidup, maka solat akan memberikan kekuatan untuk menghadapinya dengan tenang dan berani. Apatah lagi dalam solat ini kita banyak membaca ayat al-Qur’an dan ingatan pada Allah. Sesungguhnya, ia dapat mengawal ‘stress’ dan menjadi lebih yakin untuk menghadapi dunia yang mencabar itu. selepas solat Zuhur, kita menerukan kerja dan tugasan seperti biasa.

Sekitar jam 4 petang, sekali lagi kita diseru berehat dan mendirikan solat Asar. Dalam solat ini, kita mengulangi bacaan yang sama dibaca dalam solat Subuh dan Zuhur tadi. Jadi, selepas empat jam bekerja, kita disuruh ‘recharge’ balik iman dan emosi kita. Kita disuruh berehat dan ‘refocus’ tujuan hidup dan identiti diri kita. Jadi, ibadat solat ini menjadikan kita sentiasa segar dan stabil dari segi fikiran, emosi dan rohaninya.

Di waktu petang pula, kita digalakkan berzikir, bertahmid dan berwirid. Aktiviti ini boleh dilakukan di mana saja kecuali di tempat yang diharamkan seperti tandas. Ia boleh dilakukan dalam kereta ketika balik kerja, sedang menunggu bas, LRT atau ERL untuk balik ke rumah. Allah berfirman, ‘Wahai orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadanya waktu pagi dan petang.’ (al-Ahzab, 41-42) Bila menjelang senja, azan akan berkumandang sekali lagi pada jam 7 malam menandakan tibanya waktu Maghrib. Sekali kita diseru untuk mengadap Ilahi untuk ‘recharge’ iman, emosi, fikiran dan rohani kita. Jadi, bagi seorang Muslim, kedatangan malam disambut dengan ibadat dan mendekati diri pada Tuhannya seperti datangnya hari siang tadi. Akhir sekali, pada jam 8.38 malam, kita akan mendengar azan Isyak yang menjadi penutup pada hari itu.

Jadi, inilah jadual tetap bagi seorang Muslim yang perlu dilakukan dari awal hingga akhir umurnya. Mengapa ia tidak berubah? Hakikatnya, dunia dan emosi kita tidak stabil dan sentiasa berubah-ubah. Perubahan politik yang sedang berlaku pada hari ini misalnya, boleh menyebabkan tekanan dan ‘tension’ pada sesetengah individu. Di tambah pula dengan pelbagai tekanan dan desakan hidup yang semakin meningkat. Ia boleh menghilangkan kewarasan akal dan kawalan diri. Solat mekanisme untuk menstabilkan emosi dan hidup kita. Maknanya, walaupun dunia ini terumbang-ambing sekalipun, kita tidak mudah hilang punca dan sentiasa berpegang pada nilai dan prinsip yang dibina dalam ibadat solat.


Kesimpulannya, marilah kita sama-sama melaksanakan tugas ini dengan penuh ikhlas, bersungguh-sungguh, dan sempurna supaya kita boleh mencapai kejayaan hakiki yang disebutkan dalam al-Quran itu, iaitu kejayaan di dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Setiap waktu solat yg ditetapkan oleh Allah adalah cara untuk kita ‘recharge’ balik iman, emosi, fikiran dan rohani kita setelah beberapa jam menyibukkan diri dengan perihal dunia. Sekiranya kita dalami maksud sebenar apa yang kita baca dalam solat, sedar akan niat sebenar kita dilahirkan kedunia pasti kita akan terhindar dari melakukan dosa. Sebenarnnya inilah jadual tetap bagi seorang Muslim yang perlu dilakukan dari awal hingga akhir umurnya. Marilah kita sama-sama perbaharui solat kita dengan hati yang ikhlas, jiwa yang kusyuk, serta tertip. Sekiranya dulu kita solat dengan hanya membaca surah mukadam, kini kita cuba tingkatkan dengan bacaan surah al-quran. Sekiranya dulu kita tidak tahu maksud bacaan dalam solat, hari ini kita cuba hafal dan ambil tahu maksud dari bacaan kita. Andai kata Allah meminjamkan nyawa kita selama 60 tahun, adakah selama hayat kita itu kita hanya mampu solat dengan keadaan yang sama, surah yang sama, tanpa ada ‘pembaharuan’ dari segi kualiti solat? Marilah sama-sama kita tingkatkan kualiti solat kita sebagaimana kita mahu meningkatkan kualiti hidup kita. InsyaAllah..
 


No comments:

Post a Comment